Cikgu Hasni bin Sulaiman
Sempena Sambutan Bulan Penghayatan Kemerdekaan
ke 53 Tahun 2010
Tema: 1 Malaysia Menjana Transformasi
Proses memerdekakan negara daripada belenggu penjajahan merupakan perjalanan yang sangat panjang. Penguasaan Barat terhadap negara yang kita cintai ini telah bermula sejak 1511 lagi apabila Protugis berjaya menakluki Melaka. Ini diikuti dengan kehadiran bangsa Belanda dan Inggeris. Penjajahan selama 468 tahun ke atas negara yang namanya Tanah Melayu, yang kemudiannya dikenali sebagai Malaya dan hingga kini dirujuk sebagai Malaysia telah berjaya ditamatkan melalui perjuangan tokoh-tokoh yang rela mengorbankan jiwa dan raga mereka semata-mata kerana negara tercinta.
Tidak adil sekiranya kita tidak menyorot perjuangan tokoh-tokoh yang telah banyak memperjuangkan kebebasan negara daripada belenggu penjajahan. Perjuangan Dol Said, Dato’ Maharaja Leka, Rentap , Mat Salleh, Dato’ Bahaman, Tok Janggut , Mat Kilau ,Hj. Abdul Rahman Limbong dan ramai lagi tokoh seangkatan merek,a merupakan detik-detik awal usaha murni membebaskan negara. Gerakan yang mereka lakukan bagi mengusir penjajah merupakan satu usaha yang tidak memikirkan kepentingan peribadi. Apa yang mereka lakukan semata-mata kerana semangat patriotik yang jitu yang tidak rela negara ini berada di bawah cengkaman kuasa asing.
Cubaan tokoh-tokoh awal ini tidak berakhir dengan kejayaan manis yang dapat mereka nikmati. Malah ramai yang terkorban atas prinsip mempertahankan tanah air. Dato maharaja Lela bersama beberapa pengikutnya dihukum gantung. Tok Janggut(Hj. Mat Hassan b.Munas) sendiri telah terbunuh dalam pertempuran dengan pihak British. Mayat beliau telah digantung secara terbalik dan diusung sekeliling bandar Kota Bahru dengan titisan darah bercucuran ke bumi sebelum digantung di pasar untuk dipamerkan. Jelas perjuangan Tok Janggut hingga beliau gugur sebagai seorang sayhid demi tanah air tercinta.
Tokoh-tokoh seperti ini telah dilebelkan oleh penjajah sebagai lanun, pemberontak malah dituduh sebagai pengganas. Sudah tentu kita yang menikmati hasil perjuangan tokoh-tokoh ini tidak perlu bersusah payah sedemikian, semata-mata untuk mempertahankan negara. Perjuangan tokoh-tokoh lampau ini patut dicontohi oleh generasi kini. Semangat juang yang tinggi menjadi tonggak perjuangan mereka. Adalah tidak wajar bagi kita sebagai warganegara yang merdeka, yang tidak perlu berbuat apa-apa untuk menikmati kebebasan yang ada pada hari ini memusnahkan apa yang telah dibina atas darah dan air mata tokoh-tokoh lampau.
Perjuangan membebaskan negara diteruskan oleh tokoh-tokoh agama waratawan dan guru. Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi, Zainal Abidin b. Ahmad (zaaba), Dato Onn b. Jaafar, Abd. Rahim Kajai dan ramai lagi yang melakukan penentangan melalui kritikan terhadap penjajah. Masyarakat diingatkan agar mengamalkan ajaran agama yang sebenarnya supaya masyarakat tidak hidup dalam kesesatan. Kemerdekaan yang diperjuangkan perlu diisi dengan amalan agama yang kuat supaya kehidupan yang dilalui diredai. Tidak mungkin kemerdekaan dapat dicapai dengan memisahkan agama daripada kehidupan seharian.
Jasa tokoh seperti Ibarahim Yaakob, Bararuddin Helmi dan Ishak hj. Muhammad tidak boleh di kesampingkan. Tokoh-tokoh seperti ini sanggup mengelilingi tanah air semata-mata mahu membangkitkan semangat nasinolisme dalam kalangan rakyat seluruh negara. Akhirnya tokoh-tokoh ini telah ditangkap dan dipenjarakan kerana penentangan mereka terhadap British. Oleh itu perjuangan memertabatkan negara tidak hanya tertumpu dalam kalangan kelompok yang terhad, tetapi seharusnya menjangkaui rakyat keseluruhannya.
Fasa perjuangan membebaskan tanah air semakin menjadi lebih terjurus apabila Inggeris memperkenalkan Malayan Union. Penghapusan kuasa raja-raja Melayu membawa kepada penentangan berbentuk demonstrasi di seluruh negara. Bantahan turut disalurkan melaui akhbar-akhbar. Penubuhan parti politik berasaskan kaum Melayu iaitu UMNO menjadi pemangkin kepada penentangan penjajahan. Kegigihan Dato’ Onn Jaafar berjaya mengagalkan Malayan Union dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam masa yang sama penentangan terhadap penjajah di Sarawak dan Sabah masih dalam bentuk yang radikal. Ini terbukti dengan penjuangan Rosli Dhobi yang tidak mahu menerima kehadiran Inggeris hingga beliau sendiri dihukum gantung kerana membunuh Sir Duncan Stewart. Seorang lagi tokoh besar negara telah terkorban atas nama perjuangan mempertahankan tanah air daripada dikuasai oleh penjajah.
Dalam proses memperjuangkan kemerdekaan unsur kerjasama atau perpaduan antara kaum merupakan elemen utama yang menjadi tunjang kejayaan memerdekakan negara. Kesepakatan antara kaum ditonjolkan apabila kaum-kaum utama sanggup berkongsi kuasamentadbir negara. Tanpa kesanggupan bekerjasama sudah pasti kemerdekaan tidak mampu dikecapi dengan mudah.
Kesepakatan antara tokoh pelbagai kaum seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun H.S. Lee dan Tun V. T. Sambanthan menjadikan proses kemerdekaan menjadi lebih mudah. Atas kesanggupan pelbagai kaum bertolak ansur melalui kontarak social yang dipersetujui, negara berjaya memperolehi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Elemen Pengorbanan, Kerjasama dan Perpaduan Kaum merupakan aspek utama untuk mencapai sesuatu kejayaan. Meraikan kemerdekaan dengan cara yang betul akan melangsungkan kebebasan yang kita miliki ini buat selama-lamanya. Namun bangsa yang melupai kepayahan tokoh-tokoh yang berjuang untuk membebaskan negara pasti dirujuk sebagai golongan yang tidak bersyukur. Menjerumuskan diri ke kancah negatif akan mengheret negara ke arah penjajahan bentuk baru. Kemerdekaan seharusnya diraikan dengan kesyukuran dan bukanlah dengan hiburan yang melampau, pergaulan bebas tanpa batasan dan perbuatan vandalisme yang berleluasa. Marilah kita raikan kemerdekaan ini dengan menghayati perjuangan tokoh-tokoh yang mengorbankan diri untuk membolehkan kemerdekaan ini menjadi milik kita selama-lamanya dengan landasan yang betul dan bermakna.
Selamat Hari Merdeka
“ 1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI”